Tuesday 20 November 2018

MAKANAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU SARAWAK 

UMI ATHIRA BINTI MAZZANI 
5041181006 
DIPLOMA IN HEALTH INFORMATION AND MANAGEMENT (DHIM)
KPJ HEALTH CARE UNIVERSITY COLLANGE, NILAI 


ABSTRAK 

Konteks kehidupan masyarakat merangkumi pelbagai aspek seperti adat resam, makanan,
pantang larang dan cara hidup yang mempengaruhi persekitaran budaya bagi sesuatu kaum.
Justeru, kemampuan dan kemahiran yang dipelajari daripada nenek moyang terdahulu
memberi kesan terhadap proses pembudayaan dalam masyarakat. Masyarakat Melayu
Sarawak merupakan salah satu etnik yang masih mengamalkan sifat-sifat keMelayuan sama
seperti kaum Melayu yang ada di semenanjung Malaysia. Skop kajian ini tertumpu di
kawasan Kampung Tanjung Asam, Betong, Sarawak, kerana merupakan salah satu
perkampungan Melayu Sarawak yang masih lagi mempraktikkan dan menghasilkan makanan
tradisional Melayu Sarawak. Manakala, objektif utama dalam kajian ini, mengenal pasti jenis
makanan yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu Sarawak, dan mengkaji makanan
tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Aspek yang dikaji ialah, penghasilan makanan
tradisional yang mengambil kira bahan-bahan yang digunakan, teknik pembuatan, dan
pantang larang atau adat semasa menghasilkan makanan tradisional tersebut. Ketiga, melihat
kepada kesan dan pengaruh positif atau negatif yang boleh memberi impak terhadap makanan
tradisional dalam masyarakat Melayu Sarawak. Kertas kerja ini juga menjelaskan rasional
makanan tradisional ini menjadi tarikan bukan dari segi rasa sahaja, namun makanan
tradisional ini mempunyai nilai-nilai tersendiri dan dibuat dengan penuh ketertiban dan
ketekunan masyarakat Melayu Sarawak. Masyarakat Melayu Sarawak ini menghasilkan
makanan tradisional yang boleh dimakan oleh semua masyarakat terutama yang beragama
Islam dan agama lain. Bahkan, keunikan makanan tradisional Melayu Sarawak ini
mempunyai nilai komersil untuk diberitahu kepada umum.

Kata kunci: Melayu Sarawak, Makanan Tradisional, Pembudayaan, Nilai, dan Adat Resam.


PENGENALAN 

Makanan bermaksud segala benda atau sesuatu yang boleh dimakan, manakala tradisional
yang berasal daripada kata dasar tradisi yang bermaksud sesuatu kebiasaan yang kekal turun-
temurun dan tradisional juga dapat diistilahkan sebagai sesuatu yang bersifat atau mengikut
tradisi. Secara konseptual, makanan tradisional ialah makanan yang sudah menjadi amalan
dan sebati dengan kehidupan sesebuah masyarakat (Ruhaizan Sulaiman & Ilham M.Salleh,
2010). Manakala menurut Yayasan Budaya Melayu Sarawak (2014), orang melayu
merupakan salah satu kaum yang mendiami negeri Sarawak. Pada ketika ini orang melayu
meliputi kira-kira 20 peratus daripada penduduk Sarawak. Perluasan kuasa brunei ke Sarawak
selepas itu membawa golongan orang melayu hadir ke Sarawak selepas kedatangan keluarga
Datu Merpati Jepang. Melayu Sarawak merupakan golongan yang beragama islam dan
mengamalkan sifat-sifat keMelayuan.
          
        Secara terperinci, kajian ini mengenai makanan tradisional masyarakat Melayu
Sarawak yang merupakan salah satu khazanah yang berharga dan diwarisi daripada nenek
moyang masyarakat Melayu Sarawak. Lokasi kajian teletak di Kampung Tanjung Asam,
Betong, Sarawak. Perkampungan tersebut merupakan perkampungan masyarakat Melayu
Sarawak yang beragama islam. Perkampungan tersebut merupakan kawasan terpencil dan
kedudukan berhampiran dengan sungai. 

        Apabila berbicara mengenai makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak, timbul
beberapa perkara yang wujud dan merupakan permasalahan kepada kajian. Pertama,
masyarakat tidak mengetahui secara khusus mengenai makanan tradisional masyarakat
Melayu Sarawak kerana kurang pendedahkan dan penerangan secara terperinci mengenai
perkara ini. Kedua, pengetahuan mengenai makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak
ini masih ditahap sederhana kerana bahan bacaan atau sumber ilmiah yang ada hanya bersifat
umum dan tidak begitu khusus terhadap sesebuah masyarakat. Ketiganya, kurang kajian
mengenai makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Permasalahan ini
memperlihatkan kurangnya tahap pengetahuan masyarakat mengenai masyarakat Melayu
Sarawak.

        Kajian ini dibuat berlandaskan tiga objektif utama sebagai jalan penceritaan. Pertama,
mengenal pasti jenis makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Keduanya, mengenal
pasti aspek utama dalam penyediaan makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Akhir
sekali, mengenal pasti pengaruh makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.Berdasarkan objektif yang dijalankan, kajian akan dilakukan secara berperingkat dari objektif
pertama hingga ketiga.

        Kajian ini penting bagi memperkenalkan makanan tradisional masyarakat Melayu
Sarawak. Walaupun, isu makanan tradisional ini merupakan isu yang jarang diperkatakan dan
bersifat umum, namun keunikan dan budaya yang ditonjolkan berbeza sama sekali dengan
makanan tradisional yang lain. Makanan tradisional ini diketengahkan dengan konsep yang
berlainan dan berbeza mengikut etnik tertentu. Di samping itu, kepentingan kajian ini melihat
kepada masih kurang pemahaman terhadap jenis dan pengklasifikasi makanan tradisional ini.
Pengkaji menyifatkan bahawa masih kurang kajian mengenai makanan tradisonal ini kerana
masyarakat masih mempunyai tanggapan bahawa kesemua makanan tradisional yang
diperkenalkan adalah makanan tradisional negeri Sarawak namun tidak mengetahui asal
usulnya.

         Kajian ini melihat kepada makanan tradisional penduduk kampung tersebut iaitu kuih
corot/selorot, kelupis, rendang bebek, dan udang cincang pais. Aspek utama yang dilihat
bagi mengkaji makanan tradisional ini ialah bahan-bahan, cara pembuatan dan pantang
larang. Kaedah kajian yang digunakan ialah kajian lapangan, dalam membuat kajian
berdasarkan budaya dan adat pengkaji memerlukan pemerhatian yang menyeluruh terhadap
cara hidup masyarakat. Menurut Nor Azita Che Din (2010), dalam bidang budaya sesuatu
penulisan ilmiah itu memerlukan kita membuat penyelidikan melalui kajian lapangan
(fieldwork). Pengkaji perlu tinggal atau menghabiskan masa bersama-sama dengan kelompok
masyarakat yang akan dikaji dalam mengumpul data atau maklumat yang diperlukan. oleh
sebab itu, pengkaji menggunakan sepenuh masanya dalam mengkaji makanan tradisional ini
di perkampungan tersebut.

         Keupayaan sesuatu makanan tradisional mampu membentuk pemikiran dan perspektif
yang ada pada masyarakat terhadap sesuatu kaum itu boleh berubah. Masyarakat perlu
pandang kepada kepakaran bukan cara hidup mereka yang kurang moden. Kadang kala
mereka mampu mengubah hidup mereka tapi jika mereka ubah cara hidup mereka generasi
akan datang tidak mampu melihat kehijauan alam sekitar dan kepelbagaian adat serta budaya
yang dijaga selama ini. Rasional daripada tindakan ini, generasi akan datang umumnya
berhak untuk menikmati segala tradisi budaya sebagai satu harta bernilai bagi masyarakat
yang diwakili ( Ruhaizan Sulaiman & Ilham M.Salleh, 2010).

    Jenis Makanan Tradisional Masyarakat Melayu Sarawak

Makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu,
pencuci mulut/kuih-muih dan makanan berat. Makanan tradisional ini merupakan makanan
utama dan menjadi tradisi dalam masyarakat Melayu Sarawak. Antara makanan tradisional
masyarakat Melayu Sarawak, ialah;


Kuih Corot/Selorot
Gambar 1.1: Kuih Corot/Selorot
Foto Kredit : Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)

         Kuih Corot/Selorot ini merupakan salah satu kuih yang menjadi
makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak. Kuih ini menggunakan
pucuk nipah muda sebagai sarong kuih. Makanan ini selalu dihidang semasa
sungkey (buka puasa), pengilan (kenduri),dan perayaan. Menariknya, kuih ini
mudah dimakan dan sangat diminati oleh semua golongan kerana kelembutan
dan keenakan kuih tersebut. Di samping itu, penggunaan bahan yang mudah
dapat dan berada disekeling perkampungan,seterusnya tidak menggunakan
modal yang tinggi.


Gambar 1.2 : Kuih Corot/Selorot yang sedang dikukus
Foto Kredit: Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)

        Antara bahan-bahan untuk membuat kuih corot ialah beras pulut, gula
apong dan santan. Gula apong digunakan sebagai pemanis kuih dan rasanya
asli tanpa bahan campuran. Sarong kuih dibuat menggunakan daun pucuk
nipah muda yang digulung sehingga menjadi bekas dan tidak bocor. Pembuatan sarong kuih corot ini memerlukan kemahiran yang tinggi kalau
tidak sarong tersebut boleh bocor dan tidak dapat menampung kuih tersebut.

KELUPIS 


Gambar 1.3 : Kelupis
Foto Kredit : Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)

        Kelupis merupakan golongan nasi atau pulut yang dibungkus
menggunakan daun palas. Kelupis ini merupakan makanan wajib pada musim
perayaan. Kelupis ini selalu dimakan bersama rendang bebek, susu dan lauk
pauk yang lain. Kelupis ini sangat universal boleh makan bersama manisan
atau lauk pauk. Penggunaan beras pulut merupakan bahan utama bagi
penghasilan kelupis.



Gambar 1.4: Pulut yang telah dimasak
Foto Kredit: Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)

      Beras pulut dimasak bersama santan seperti biasa, setelah itu
dibungkus. Setelah dibungkus, kelupis akan direbus semula bagi tahan lebih
lama. Kelupis ini boleh bertahan selama tiga hingga empat hari jika disimpan
dengan baik.



Gambar 1.5: Kelupis yang siap dibungkus
Foto Kredit: Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)
   
       Setiap tempat di Sarawak berbeza jenis bungkusan bagi kelupis namun
bahan asas tetap sama.

Aspek Utama Dalam Penyediaan Makanan Tradisional Masyarakat Melayu Sarawak

Penyediaan makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak mempunyai aspek penting bagi
mengekalkan rasa, kualiti dan cara penyediaan. Bagi masyarakat melayu Sarawak, dalam
meraikan tetamu aspek pemakanan perlu dijaga, supaya tetamu gembira menikmati makanan
tersebut. Terdapat tiga aspek utama dalam penyediaan makanan iaitu bahan-bahan, cara
pembuatan dan patang larang.

         Pertama, melihat kepada bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan
tradisional. Kebanyakan bahan yang digunakan berasaskan hasil sungai dan hutan kerana
kedudukan kampung tersebut terletak berhampiran dengan sungai, sawah padi dan hutan.
Bahan-bahan semula jadi seperti Gula Apong, Santan, Pucuk Nipah Muda, Udang, Itik dan
Daun Palas, menjadi bahan asas dalam penyediaan makanan tradisional. Menurut Hajah
Umang Binti Hj Deris, yang merupakan salah seorang pengusaha kuih di Kampung Tanjung
Asam, mengatakan Gula Apong merupakan salah satu bahan yang dihasilkan sendiri oleh
penduduk kampung dan kebanyakkan makanan tradisional menggunakan gula apong sebagai bahan utama dalam masakan berbanding dengan gula pasir. Hal ini kerana, sumber asli
seperti pokok nipah banyak tumbuh di perkampungan tersebut dan penduduk kampung lebih
tertumpu kepada pembuatan gula apong asli. Selain itu, kebanyakan penduduk kampung
hidup dalam keadaan yang sederhana dan sudah terbiasa dengan penggunaan bahan dari hasil
sungai dan hasil hutan yang berhampiran dengan mereka. Selain itu, perkampungan tersebut
jauh dari bandar oleh sebab itu penduduk kampung lebih bergantung kepada hasil sekeliling
mereka.


Gambar 1.9 : Daun Palas
Foto Kredit : Muhamad Fadzllah Bin Hj Zaini (2014)

Gambar 1.9 menunjukkan Daun Palas yang digunakan untuk membungkus makanan
tradisional (Kelupis). Pokok ini banyak tumbuh di sekitar kampung tersebut.

          Keduanya, cara pembuatan makanan tradisional ini ialah bergantung kepada bahan
yang digunakan. Pembuatan makanan tradisional ini perlu teliti, jika tidak mengikut turutan
kemungkinan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan dengan sempurna. Seperti kuih
corot/selorot menggunakan kaedah kukus. Kebanyakan cara pembuatan makanan tradisional ini masih menggunakan cara lama, seperti memarut kelapa, penggunaan daun pucuk nipah muda
sebagai sarong kuih atau pembalut.

          Di samping itu, penduduk kampung tersebut percaya bahawa tukang masak juga
memainkan peranan utama dalam pembuatan makanan tradisional kerana setiap gerak cara
yang digunakan dalam memasak adalah berlainan dan boleh memberi kesan kepada rasa
makanan tersebut. Bagi orang tua kampung tanjung asam, mereka lebih suka masak secara
gotong royong berbanding masak seorang. Semangat kejiranan yang diperkenalkan telah
membawa mereka untuk hidup saling bergantung.

          Ketiga, penduduk kampung tersebut masih mempercayai pantang larang dan amalan
yang digunakan dalam penyediaan makanan tradisional. Masyarakat Melayu Sarawak juga
mempunyai beberapa kepercayaan serta amalan yang diperwariskan dari satu generasi ke
generasi yang lain sejak berkurun lamanya. Perkara ini merupakan satu peraturan sosial yang
dikongsi dalam hidup bermasyarakat yang tetap mengamalkan toleransi kaum dan agama
(Ahmad Shahranie,2013).

          Menurut Sophia Hj Mohd Suhailiee, merupakan penduduk Kampung Tanjung Asam,
berkata bagi kelupis, semasa mengukus pulut (proses mengacau pulut bersama santan) tidak
perlu mengatakan sesuatu atau bercakap kerana dikuatiri memberi kesan terhadap pulut
tersebut. Di samping itu, daun palas atau daun pucuk nipah yang digunakan bagi membalut
atau membuat sarong kuih perlu dibersihkan dan daun tersebut dalam keadaan baik. Jika
tidak dibersihkan dengan baik takut memberi kesan kepada tetamu yang makan makanan
tersebut. Antara kesannya ialah, keracunan makanan dan gangguan entiti asing. Walaupun
penduduk kampung tersebut beragama islam namun masih mengekalkan kepercayaan
terhadap perkara yang sedemikian.
       
         Kesemua aspek utama ini perlu dipelihara dan dijaga dengan baik agar kualiti yang
dihasilkan tidak berubah dari segi rasa dan bentuk.

Pengaruh Makanan Tradisional Masyarakat Melayu Sarawak

Setiap perkara memberi kesan atau pengaruh kepada individu mahupun masyarakat
sekeliling, pengaruh dari segi baik atau buruk perlu dilihat supaya perkara tersebut sentiasa
dipelihara dan dijaga dengan baik.

         Umum mengetahui, kebanyakan remaja terutama di negeri Sarawak mereka lebih
terdedah dengan makanan tradisional berbanding dengan remaja di semenanjung. Budaya
yang ditonjolkan merupakan salah satu budaya yang asli dan sentiasa menjadi tumpuan
anggota masyarakat. Oleh hal demikian, pengaruh positif yang meresap kepada masyarakat
telah membawa kepada satu lembaran baharu yang mengekalkan makanan tradisional ini.
Makanan tradisional masyarakat melayu Sarawak ini merupakan makanan yang universal dan
boleh dinikmati oleh semua golongan lapisan masyarakat. Golongan Melayu Sarawak ini
merupakan golongan yang beragama islam dan mementingkan kesucian dalam semua aspek
dari makanan sehingga peribadi anggota masyarakat.
      
         Di Sarawak, pembangunan industri halal telah mendapat perhatian setelah Hab Halal
Tanjung Manis (HHTM) merupakan pemangkin industri halal di Sarawak. Produk makanan
merupakan salah satu perkara yang dititikberatkan dalam pembangunan industri halal.
Perkaitan makanan tradisional dengan masyarakat Melayu Sarawak merupakan satu perkara
penting kerana pengeluaran produk halal bergantung kepada golongan yang beragama islam
dan mengetahui aspek penting dalam pengeluaran produk halal iaitu masyarakat Melayu
Sarawak terutamanya. Oleh hal demikan, masyarakat melayu Sarawak perlu mempelopori
industri makanan halal negeri Sarawak secara tidak langsung dapat mengikat perpaduan
dengan keupayaan makanan yang boleh dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.

         Menurut Rosalmah Jamaludin, merupakan penduduk semenanjung Malaysia yang
berkahwin dengan penduduk Kampung Tanjung Asam, mengatakan pengaruh makanan
tradisional ini telah memberi satu gambaran baik kerana ahli keluarga masih menerima
makanan tradisional yang menjadi simbol terhadap masyarakat Melayu Sarawak. Selain itu,
makanan tradisional tersebut menjadi satu menu utama keluarga setiap kali kenduri dan
musim perayaan.

        Di samping itu, kebanyakan premis makanan atau penginapan banyak menyediakan
makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak ini. Pemintaan yang tinggi merupakan
salah satu pengaruh positif yang boleh mengekalkan makanan tradisional tersebut. Jadi,
pengaruh makanan tradisional masyarakat melayu Sarawak ini bergantung kepada
penerimaan dan pemasaran produk makanan tradisional tersebut. 

         Makanan tradisional ini juga mempunyai pengaruh buruk yang boleh menjejaskan
kesihatan. Menurut Zainordin Md. Noor, merupakan Pegawai Perubatan Kanan, Hospital
Pusrawi Sdn. Bhd. dalam artikel Pesakit Diabetes Kekang Keinginan, pesakit diabetes
dinasihatkan tidak mengambil makanan tradisional yang selalu di hidangkan pada musim
perayaan kerana semua makanan itu sememangnya kaya dengan kolesterol yang boleh
meningkatkan paras gula. Secara umumnya, makanan tradisional merupakan penyumbang
kepada masalah kesihatan, perkara ini disebabkan kebanyakan individu atau anggota
masyarakat mengambil makanan tradisional secara berlebihan dan tidak mengamalkan gaya
hidup sihat. Pada asalnya makanan tradisional ini kurang memberi kesan terhadap masalah
kesihatan kerana kebanyakan bahan yang digunakan dari sumber yang asli, seperti gula
apong yang dibuat tanpa mencampurkan perisa atau bahan lain. Di samping itu, masyarakat
dahulu mengamalkan cara hidup kerja yang sistematik yang boleh seimbangkan kitaran
aktiviti masyarakat.

          Timbangtara yang dibuat memperlihatkan pengaruh baik dan buruk memberi satu
penekanan yang serius, kerana nilai yang disampaikan memberi pelbagai perspektif terhadap
masyarakat sekeliling. Jika lebih kepada kebaikan maka hasilnya lebih baik, jika lebih kepada
keburukan satu inisiatif perlu difikirkan supaya perkara ini dapat diselesaikan.

KESIMPULAN 

Makanan tradisional masyarakat Melayu Sarawak ini merupakan salah satu khazanah dan
budaya yang perlu dikekalkan. Kebanyakan masyarakat masih kurang mengetahui asal usul
dan kelas makanan tersebut. Walaupun masyarakat melayu Sarawak ini merupakan kelompok
kecil di negeri Sarawak namun perspektifnya boleh berubah dengan menonjolkan budaya dan
adat, khususnya dari segi memperkenalkan makanan tradisional ini. Makanan tradisional
masyarakat Melayu Sarawak yang terdapat di perkampungan tersebut iaitu Kuih
Corot/Selorot, Kelupis, Rendang Bebek dan Udang Cincang Pais. Terdapat pelbagai bahan,
cara pembuatan dan pantang larang yang merupakan aspek utama dalam penyediaan
makanan tradisional ini.

          Makanan tradisional ini merupakan salah satu aspek penting dalam proses
pembudayaan yang sentiasa dilalui kehidupan sesebuah masyarakat. Di samping itu, melihat
kepada permasalah masyarakat sekarang lebih memandang rendah kepada perkara yang lama,
tetapi tidak mengetahui perkara yang lama ini mengwujudkan perkara yang baru. Perubahan
hidup masyarakat tidak perlu mempertaruhkan adat dan budaya yang menjadi peraturan
hidup bagi setiap masyarakat. Setelah mengetahui makanan tradisional ini, masyarakat perlu
buka mata bahawa masih ada perkara yang belum diketahui dan memberi gambaran baru
dalam hidup bermasyarakat. “Delima bagai permata, merah bagai saga, namun harga tidak
seindah rupa”.

SUMBER RUJUKAN

Ahmad Shahranie Ahmad Fauzi(2013). Petua dan Pantang Larang di dalam Masyarakat
Melayu Sarawak.
Laman Sesawang: 
http://shahraniefauzi.blogspot.com/2013/07/petua-dan-pantang-larang-di-dalam.html.

Alias Abd Rani(2014). HHTM Pemangkin Industri Halal Sarawak. Kuching: New Straits
Times Press (M) Bhd

Hajah Mahani Jemari(2014, September 2). Makanan Tradisional.(M.F. Zaini, Interviewer)

Hajah Umang Hj Deris(2014, Ogos 2). Makanan Tradisional: Gula Apong.( M.F.Zaini,
Interviewer)

Hadiah Binti Nawi (2014, Ogos 3). Makanan Tradisional: Kuih Corot/Selorot.( M.F.Zaini,
Interviewer)

Nor Ida Ramli, Rozaimah Rashidin, Zuraidah Jantan, Asma Yusoff, Norizah Ardi, Ismail

Abdul Rajab, Azhar Abdul Wahab, Midiyana Mohamad, Saliza Ismail, Noriza Daud,
Nor Azita Che Din & Farah Hanini Abdul Rahman(2010). Penulisan Ilmiah Di
Universiti. Petaling Jaya: Penerbitan Matahati

Rosalmah Binti Jamaludin(2014, Ogos 3). Pengaruh Makanan Tradisional.( M.F.Zaini,
Interviewer)

Ruhaizan Bt Sulaiman @ Abd Rahim dan Ilham Nazahiah Bt M.Salleh (2010). Pemuliharaan
Makanan Tradisional Masyarakat Bugis di kalangan generasi Muda di Daerah
Pontian, Johor.

Sholina Osman(2011). Pesakit Diabetes Kekang Keinginan. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia 

Sophia Hj Mohd Suhailiee (2014, September 3). Makanan Tradisional Dan Pantang Larang.
(M. F. Zaini, Interviewer)

Yayasan Budaya Melayu Sarawak (2014). Sejarah dan Politik. Laman Sesawang:
http://ybms.com.my/sejarahmelayu.html